Onn Jaafar, Perjuangannya dan Sejarah Kita

Oleh Amin Ahmad

Tanggal 19 Januari seharusnya mengingatkan kita kepada seorang tokoh penting dalam sejarah moden Malaysia – Dato’ Onn Jaafar.

Pada tarikh ini, 54 tahun lalu, beliau meninggal dunia pada usia 67 tahun, membawa bersama perjuangan yang belum selesai.

Nama beliau mungkin sudah kurang diperkatakan ramai tetapi sumbangannya tidak harus dilupakan.

Memahami pemikiran beliau juga boleh membantu kita melihat kembali pergolakan zaman lalu, khususnya menjelang kemerdekaan, kerana sejarah bukanlah jalan sehala, meskipun ada pandangan yangmenyifatkan sudah ada naratif utama bagi  sejarah kita dan ia ‘tidak wajar diusik’.

Hakikatnya, sejarah adalah segala yang pernah berlaku pada masa lalu, sama ada ia direkod atau tidak, hal yang boleh menjadikan ia rumit untuk difahami.

Tambahan pula, ia turut mengambil kira banyak pandangan mereka yang terlibat semasa atau dalam peristiwa sejarah, yang mungkin disandarkan kepada banyak motif, sesuai atau bercanggah.

Interpretasi daripadanya juga boleh menjadi sangat pelbagai, menambah sejumlah kebarangkalian kepada pemahaman generasi kemudian.

Latar belakang

Dato’ Onn Jaafar membesar dalam persekitaran bangsawan, menjadikan pemikiran dan pilihan yang dibuat beliau sebenarnya tidak mudah, dan menunjukkan juga beliau sebagai seorang yang berjiwa bebas dalam berpendirian.

Bapanya Datuk Jaafar bin Mohamad ialah Menteri Besar Johor yang pertama (1886-1919), dilantik Sultan Abu Bakar, sekaligus menjadi antara pengasas utama sistem pentadbiran kerajaan negeri itu.

Ini penting diketahui memandangkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang dimahsyurkan pada 14 April 1895 adalah bukti Johor merupakan negeri pertama mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Datuk Jaafar merupakan antara saksi yang melihat upacara menandatangani undang – undang ini.

Sultan Abu Bakar mangkat pada pertengahan tahun 1895, digantikan oleh Sultan Ibrahim.

Pada tahun itu juga Dato’ Onn dilahirkan dan dipelihara sebagai anak angkat Sultan Ibrahim.

Pernah juga bapanya dilantik Sultan (yang pada masa itu bergelar Maharaja) untuk menjadi Pemangku Raja pada 1904, ketika Sultan berkunjung ke luar negara.

Sebenarnya, pada zaman itu, mungkin kerana mod pengangkutan tidak secanggih hari ini, Sultan sering berkunjung ke luar negara untuk tempoh yang lama.

Pernah dilaporkan di zaman Sultan Abu Bakar, orang-orang Melayu merungut kerana ia dilihat sebagai pengabaian kepada rakyat.

Darah pemimpin

Walaupun kedaulatan kesultanan Johor diperolehi daripada British, Datuk Jaafar tidak begitu memberi muka kepada mereka.

Ini boleh dilihat pada arahannya agar semua pegawai British yang berkhidmat di negeri itu untuk memakai pakaian rasmi kerajaan Johor, kibaran bendera Union Jack lebih rendah daripada bendera negeri Johor dan surat menyurat yang mesti ditulis dalam bahasa Melayu.

Malah, Datuk Jaafar menentang keras usaha British menempatkan seorang Residen di sana, termasuk ‘persetujuan’ Sultan melantik Penasihat Umum dari kalangan orang Inggeris pada 1910, hal yang menimbulkan ketegangan hubungannya dengan istana.

Saya yakin seluruh gambaran ini sedikit sebanyak membentuk peribadi Dato’ Onn kemudian, daripada seorang yang membesar dalam persekitaran bangsawan, beliau  diimbangi dengan ketokohan bapanya yang lurus, berkebolehan, tegas dan berani.

Beliau yang mendapat pendidikan Inggeris dan Melayu terdedah kepada 2 realiti berbeza, menajamkan lagi perspektifnya terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Tidak hairanlah, di samping memperjuangkan nasib kaum Melayu, beliau juga turut  menegur kelemahan orang Melayu malah Sultan, sehingga menyebabkan dibuang negeri dan abangnya Dato’ Abdullah Jaafar diberhentikan daripada menjadi menteri besar Johor.

Meskipun hidupnya susah kerana itu, ia tidak menghentikan beliau daripada terus membangkitkan isu-isu kepentingan Melayu – kedudukan raja-raja, negeri-negeri Melayu, bahasa Melayu dan pemerkasaan orang Melayu – dan membidas British.

Ini dapat dilihat khususnya semasa beliau menjadi pengarang di akhbar Warta Malaya (termasuk Warta Ahad), Lembaga Malaya dan Lembaga.

Kedudukannya digunakan sebaik mungkin untuk menggerakkan semangat nasionalisme Melayu, seperti tokoh-tokoh sezaman itu, antaranya Za’ba dan Pak Sako.

Beliau menerbitkan Selamat Johor pada tahun 1935, memuji kebaikan Sultan dan mengharapkan Baginda lebih matang untuk memerintah di samping menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.

Rentetan itu beliau diberi pengampunan malah dilantik sebagai anggota tidak rasmi Majlis Mesyuarat Negeri selepas Sultan akur dengan syarat untuk tidak menyekat beliau memberikan pandangan.
Ini dibantu Tengku Mahkota Johor yang baik dengan Dato’ Onn sejak kecil.

Bersikap inklusif

Saya mahu mengenang Dato’ Onn sebagai seorang pemimpin Melayu yang inklusif, dalam pengertian beliau seorang yang berjiwa dan berfikiran bebas, memperjuang martabat kaumnya tanpa mendiskriminasi kaum-kaum lain, melihat perbezaan yang ada dalam masyarakat sebagai seruan untuk beliau menunjukkan kepimpinan dan bukan dimanipulasi untuk mendapat atau mengekalkan kuasa.

Ketika Jepun menduduki Tanah Melayu, beliau bukan sahaja terpaksa berkhidmat di bawah arahan Jepun, tetapi turut membantu golongan kiri yang menentang Jepun.

Latar perang China dan Jepun pada ketika itu cukup mempengaruhi sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu, serta tindakan zalim Jepun terhadap orang Cina.

Akibatnya, berlaku pergeseran di kalangan orang Cina yang diburu Jepun dan orang Melayu yang dilihat memberi muka kepada Jepun yang mengobarkan slogan ‘Asia untuk orang Asia’, mesej yang mudah diterima ketika sentimen nasionalisme anti-British kian menebal ketika itu.

Dato’ Onn berjaya menyelesaikan pergaduhan antara orang Melayu dan orang Cina di Batu Pahat.

Meskipun tidak banyak keterangan diketahui mengenai penyelesaian ini, kita boleh melihat bagaimana Dato’ Onn mengambil ‘sikap berkecuali’, meneruskan khidmat di bawah Jepun yang zalim dan pada masayang sama bersimpati dengan golongan kiri meskipun beliau dikenali berhaluan kanan.

Dengan memahami sikap sebenar orang Melayu dan anggota komunis, Dato’ Onn mengingatkan keganasan bukanlah jalan penyelesaian.

Beliau memberi peringatan agar komunis tidak menyerang orang Melayu dan orang Melayu yang “jika berperang jangan sampai membunuh orang yang tidak berdosa”.

Dato’ Onn mengambil sikap bersangka baik dengan menganggap komunis turut berjuang demi pembebasan negara.

Haluan kanan beliau mulai ketara apabila Persatuan Melayu Johor Semenanjung (PMJS) ditubuhkan, menolak idea Melayu Raya yang mahu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, menentang pembentukan Malayan Union melalui satu Perjanjian yang telah ditandatangani raja-raja Melayu pada 1946 dan seterusnya penubuhan UMNO serta penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Dua fakta sejarah yang penting perlu diketahui ialah penentangan terhadap Malayan Union bukanlah hanya daripada kalangan orang Melayu sahaja, sebaliknya ia adalah penolakan umum semua kaum kerana tidak mahukan campur tangan British.

Malah, ada bekas pegawai British seperti Frank Swettenham dan R.O. Winstedt juga menolak cadangan Malayan Union.

Menariknya, orang Melayu Johor yang dipimpin oleh Awang bin Hassan ketika itu (dan turut disertai oleh Dato’ Onn) bukan sahaja melaungkan slogan “Hidup Melayu!” tetapi juga mengingatkan Sultan agar tidakmengkhianati bangsa dan tidak mahu mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja Melayu lagi.

Di samping itu, keperluan British mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu untuk membolehkan mereka berkuasa jelas menunjukkan Tanah Melayu tidak dijajah seperti yang difahami umum, kecuali semasa tempoh Malayan Union, sebaliknya menjadi negeri-negeri naungan yang kompleks – terdiri daripada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Selat (sebelum kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963).

Berpandangan jauh

Dato’ Onn kemudian dikritik keras kerana tidak menuntut kemerdekaan penuh dari British, sesuatu yang difikirkannya memerlukan masa kerana situasi ketika itu.

Usul beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu menyebabkan beliau dilabel sebagai pengkhianat.

Apakah Dato’ Onn tidak sedar akan kesan daripada cadangannya? Apakah kurang semangat keMelayuan Dato’ Onn dengan cadangan itu? Saya fikir tidak.

Dato’ Onn sendiri bimbang percakapannya – mengenai pembukaan keahlian UMNO dan nama UMNO ditukar kepada “Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu” – akan dikelirukan walhal beliau menyatakan beberapa syaratnya iaitu menerima tujuan dan Undang-Undang Tubuh parti itu, kerana beliau mengharapkan ia bakal menjadi suara tungal yang menuntut kemerdekaan (bukan berunding dengan 3 parti berbeza seperti yang berlaku kemudian).

Usul ini sebenarnya dinyatakan beliau sejak sekian lama supaya mereka yang diketahuinya sukar menerima usul itu dapat melihat realiti sebenar dan tidak berpandangan sempit dengan hanya melihat di dalam tempurung sendiri kerana sekatan itu “kelak di belakang hari akan mencacatkan pendirian UMNO sendiri.”

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Yang Dipertua UMNO (kini jawatan ini dikenali sebagai Presiden), beliau cuba menyampaikan ada sesuatu yang diketahuinya tetapi ‘mulutnya dijahit’ (baca: tidak dapat dinyatakan secara terbuka) dan menurutnya “sekiranya dapat saya zahirkan, saya percaya setiap orang akan bersama saya menuntut kemerdekaan itu.”

Beliau secara bermaruah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai presiden parti itu semasa persidangannya yang ke-6 pada 25-26 Ogos 1951 selepas cadangan ditolak.

Percubaan beliau menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu (IMP) dan Parti Negara kemudian tidak begitu berjaya, meskipun beliau sendiri menang di kerusi parlimen Kuala Terengganu Selatan semasa Pilihan Raya Umum pada 1959, dengan bantuan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Onn Jaafar pemimpin Melayu,
Lahir dalam persekitaran bangsawan;
Hidupnya penuh ranjau berliku,
Berani menegur waima Sultan.

Onn Jaafar pemimpin Melayu,
Tajam fikiran, petah berbicara;
Orang Melayu diseru bersatu,
Menolak British, mendaulat negara.

Onn Jaafar pemimpin Melayu,
Jiwanya bebas, fikiran terbuka;
Melayu dan bukan Melayu mahu disatu,
Hidup bersama aman merdeka.

Pada hidup Dato’ Onn Jaafar ada tauladan untuk kita.

Beliau perdana menteri yang tidak kita miliki.

Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Al-Fatihah.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Januari 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s